Skuad Malaysia bawah 16 tahun (B-16) kendalian Osmera Omaro hari ini berlepas ke Jakarta, Indonesia bagi menghadapi kempen Kelayakan Piala Asia B-17 2023 di Bogor bermula 1 hingga 9 Oktober 2022.

Osmera telah mengekalkan 24 daripada 25 pemainnya yang telah beraksi pada Kejuaraan B-16 AFF 2022 di Yogyakarta, Indonesia pada 5 hingga 8 Ogos lalu.

Selepas 3 bulan membuat persiapan rapi, mereka meletakkan sasaran layak ke Piala Asia B-17 sekali gus berpeluang rebut tiket ke Kejohanan Piala Dunia B-17 di Peru.

Dalam saingan kelayakan, Malaysia diundi dalam Kumpulan B dan akan memulakan aksi berdepan Palestin pada Sabtu ini, diikuti Guam (5 Oktober), Emiriah Arab Bersatu (7 Oktober) dan Indonesia (9 Oktober).

Hanya juara kumpulan dan naib juara terbaik akan meraih tiket ke Piala Asia B-17 tahun depan yang kemungkinan berlangsung di Bahrain.

Grafik: FAM

Bagaimanapun, Osmera mengakui tugas tersebut bukan mudah kerana mereka berdepan masalah ketumpulan jentera serangan selepas membenam Taiwan B-16 dengan 2-1 dalam aksi persahabatan di Stadium UiTM Shah Alam, semalam.

“Kita cipta banyak peluang, tapi masalah sama berulang kita susah nak terjemah kepada jaringan, pada masa sama setiap serangan lawan nampak bahaya. Jadi benda ini kita harap sempat lagi untuk kejar (perbaiki) sikit-sikit.

“Ini bukan masalah paling senang untuk diperbaiki, kalau masalah ini berkenaan organisasi boleh baiki. Tapi kita tengok daripada sebelum ini, hingga kini rata-rata trend permainan kita dia pergi macam ini (sukar jaringkan gol).

“Saya harap sampai sini trend ini boleh berubah dan pada masa sama juga, kita harap nasib itu akan berubah sikit. Sebab komen-komen yang tengok daripada perlawanan, kata kita main bagus tapi kita tak bertuah.

“Bukan kita nak cakap nak pakai tuah, tapi situasi itu saya nak cakap akan berubah dan akan lebih tajam dan tunjuk lebih motivasi dan agresif. Bukan saja untuk memang tapi untuk jaringkan gol,” katanya dipetik dalam Harian Metro.